Usaha yang Menarik
Pertandingan reka perisian jenayah siber
PENERAJU perisian pengurusan keselamatan kandungan dunia Kaspersky Lab, kembali menganjurkan pertandingan mereka cipta perisian mencegah jenayah siber.
Pertandingan tersebut terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan.
Pertandingan Generasi Masa Depan Keselamatan IT dan Piala Asia Persidangan Pelajar Kaspersky Lab, bertujuan mengumpul pelbagai kategori pengguna dalam hal berkaitan keselamatan siber antaranya ahli sains, pengamal perundangan, ahli ekonomi serta penyelidik.
Peranan mereka penting dan sesuai bagi membentang dan membincangkan isu berkaitan dengan jenayah siber.
Fasa pertama pertandingan tersebut akan bermula dengan pertandingan Piala Malaysia dengan tiga kertas kerja terbaik akan dipilih sebagai pemenang.
Tiga pemenang itu kemudian akan mengambil bahagian untuk fasa berikutnya iaitu Piala Asia, yang mana pelajar terbabit akan bersaing dengan universiti dan institusi pengajian tinggi dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Pengarah Jualan Saluran Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong berkata, saingan akan dilangsungkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Februari 2011.
''Tahun lalu kami mendapat sambutan menggalakkan daripada mahasiswa untuk saingan Piala Malaysia dan Piala Asia.
''Malah, mahasiswa Malaysia menghantar paling banyak penyertaan berbanding rakan mereka yang lain di Asia Tenggara, katanya,
Kata beliau, isu jenayah siber sudah menjadi semakin berleluasa di seluruh dunia ketika ini dengan peningkatan spam, malware dan pembuli siber.
Oleh itu, sangat penting untuk terus meningkatkan tahap kewaspadaan dan bersiap menghadapi jenayah siber ini sambil mengetahui langkah terbaik bagi membendung dan mencegah aktiviti negatif siber itu.
Kertas kerja yang dibentangkan akan dinilai dan diperhalusi oleh jawatankuasa program yang akan dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kaspersky Lab, Eugene Kaspersky bersama-sama dengan pakar Kaspersky Lab serta profesor dari universiti dan institusi pengajian tinggi.
Tiga kertas kerja terbaik daripada Piala Asia akan bersaing dalam saingan Piala Antarabangsa yang akan dilangsungkan sama ada di Zurich, Switzerland atau Munich (Jerman) pada April tahun depan.
Untuk mendaftar atau menghantar kertas kerja, sila layari laman webhttp://www.kaspersky.com/it_security_conference_2011_asia.
Ulasan